Saturday 20 November 2010

Layakkah Kita Bergelar Al-Azhari??



Teringat saya sebuah ungkapan yang sangat menggugah jiwa bilamana salah seorang ulama al-Azhar iaitu Fadhilatul al-Allamah al-Muhaddis al-Sufi Dr Muhammad Zaki Ibrahim al-Husaini al-Syazuli rahimahullah meninggal dunia.Ungkapan ini disebutkan oleh salah seorang ulama al-Azhar al-Syarif bagi melahirkan kesedihan dengan hilangnya sebuah permata umat yang amat berharga. Maaf saya terlupa siapakah yang menyebutkan kalam hikmah ini.


Kalam yang disebutkan itu adalah :


إذا مات الأزهرى بكت السماوات و الأرض


Maksudnya: Jika mati seorang yang bergelar Azhari(yang pernah belajar di al-Azhar) maka akan menangislah seluruh langit dan bumi dengan pemergiannya.


Kalau kita semak kembali lembaran sejarah para ulama terdahulu yang belajar di pangkuan al-Azhar, maka perkataan ini sangat sinonim dan sangat bersesuaian sekali.


Namun sekarang , adakah kalam ini masih boleh untuk kita guna pakai kepada graduan yang tamat pengajiannya di al-Azhar?Fokus perbincangan saya pada kali ini bertumpu kepada seluruh pelajar Malaysia yang pernah dan sedang belajar di al-Azhar al-Syarif.Para ulama yang ada sekarang di al-Azhar al-Syarif memang tidak dapat dinafikan kewibawaannya.Namun pelajarnya? Adakah benar-benar menjiwai para ulama di sini atau sekadar pergi ke kuliah, duduk sebentar mendengar pengajian atau sekadar ke kuliah menyempurnakan urusan peperiksaan kemudian pulang dan rehat sepanjang tahun tanpa rasa malu dan sedar bahawa diri semakin lama semakin jahil.


Adakah title @ pangkat sebagai Azhari itu terlalu murah untuk diberikan kepada golongan manusia sebegini??


Saya tidaklah ingin mengatakan bahawa sistem kuliah sebenarnya sedikit demi sedikit menghakis kewibawaan seorang pelajar di al-Azhar al-Syarif.Tetapi jika diteliti , hakikatnya memang begitu.Bilamana bidang agama dipecahkan kepada bahagian-bahagian tertentu, Kuliyah Syariah, Usuluddin, Lughah dan lain-lain maka secara tak langsung pelajar juga akan menjadi semakin malas.Pelajar yang hanya belajar di Kuliyah Syariah maka ilmu lain seperti Aqidah dan lain-lain tidak akan menjadi tumpuan lagi.Manakala yang belajar di Kuliyah Usuluddin pula, ilmu Fiqh dan Perundangan Islam terus diabaikan.Pelajar Kuliyah Lughah Arabiyah pula bilamana terlalu sibuk dengan Syair Jahili dan Prosakata Arab maka ilmu Usuluddin dan Syariah terus ditinggalkan.


Saya tidak menafikan bahawa umat semakin lemah dan perlukan pembahagian.Namun pembahagian bagaimana yang kita fahami?Adakah bilamana al-Azhar membahagikan kuliyah seperti sekarang maka ilmu-ilmu lain yang tiada kaitan dengan Kuliyah kita maka akan terus dipinggirkan??Masalahnya ini yang berlaku sekarang.


Bilamana pulang ke Malaysia , bila disuruh mengajar kitab maka natijahnya sangat mendukacitakan.


 Ustaz, boleh kami ingin belajar kitab Fiqh Syafie dengan ustaz?” seorang pelajar meminta izin daripada Ustaznya.


“ Emm, Ustaz dulu belajar Kuliyah Usuluddin @ Lughah, Tak pandai sangat bab Fiqh ni.Kitab lain boleh la” jawab ustaz tersebut sambil tersipu-sipu malu.


Situasi ini saya yakin masih ada dan akan ada jika keadaan seperti sekarang berterusan.Saya berani menyebutkan perkara ini kerana saya sendiri berada di al-Azhar al-Syarif.Berapa ramai pelajar Kuliyah Syariah yang berjaya menamatkan pengajian di Universiti namun bila disuruh membaca kitab , MasyaAllah…rasa kurang yakin, malah terlalu banyak kesalahan.Istilah di dalam ilmu fiqhnya terlalu lemah, usul fiqh juga terlalu lemah, Nahu dan Saraf apatah lagi.



Ini yang berlaku dan inilah hakikat yang perlu disedari oleh semua pelajar di Universiti al-Azhar al-Syarif.Oleh sebab itulah , bilamana pelajar lulusan al-Azhar pulang ke Malaysia, maka selalunya akan berlaku pertembungan dengan sahabat-sahabat daripada lulusan Pondok.Malah tidak keterlaluan saya katakan , yang belajar dipondok lebih memahami dan mengerti apa tujuan menuntut Ilmu Allah taala.


Disebabkan itulah maka lebih ramai orang memandang tinggi pada lulusan selain Mesir.Bukan saya ingin menyuruh kita dipandang tinggi tapi sekurang-kurangnya, jangan biarkan orang lain memandang rendah pada al-Azhar al-Syarif itu sendiri disebabkan kesalahan kita.


Situasi seperti yang saya sebutkan tadi saya kira masih baik kerana sang Ustaz mengaku kelemahannya. Namun kebanyakkan yang berlaku sekarang, bilamana menyandang gelar al-Azhari maka sewenang-wenangnya membahaskan segala isu.Malah terlalu malu ingin mengatakan “ Saya tidak tahu, izinkan saya rujuk kembali”.


Terus terang saya katakan, kamu tidak akan memperolehi ilmu “ Saya Tidak Tahu” melainkan jika kamu bertalaqqi dan berada bersama dengan para ulama.Malah ini diakui oleh para ulama Dunia seperti Syaikhuna Habib Ali al-Jifri hafizahullah.Ini ilmu jiwa.Ilmu yang hanya akan diperolehi oleh golongan yang ditarbiyah oleh para ulama yang juga bilamana tidak tahu akan menjawab “ Maaf Saya tidak Tahu”.


Perangai pelajar al-Azhar yang sering saya lihat adalah, sering kagum dengan orang lain.Tapi dia sendiri tidak ingin mencari bagaimana orang yang dia kagumi belajar dan menuntut ilmu sebelum menjadi seorang yang dikagumi.


Sudah letih saya menyebutkan perkara ini.Makin disebut, makin ramai akan terasa.Benarlah sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam:


من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين


Maksudnya: Sesiapa yang Allah taala inginkan kebaikan padanya maka Allah taala akan jadikan dia salah seorang ulama umat.


Kata Syaikhuna Fahmi Zamzam hafizahullah , hadis ini jelas menunjukkan bahawa orang Alim itu adalah pilihan Allah taala.Terpulanglah kepada kamu, jika kamu ingin termasuk di dalam orang yang menjadi pilihan Allah taala maka belajarlah dengan bersungguh-sungguh dan biar kena caranya.Jangan berpada apa yang ada.Ya benar, pangkat dan kelulusan itu penting.Namun, apa guna pangkat dan kelulusan tapi hakikatnya kosong hampa tidak berguna.


Saya tidak akan marah kalau ramai menghina Azhari Malaysia yang ada sekarang kalau keadaan berterusan seperti sediakala.Namun saya marah kalau orang ramai menghina Azhari yang benar-benar meletakkan dirinya sebagai calon ulama pemimpin Umat yang menyedari peri pentingnya Azhari di mata Masyarakat.
hasil nukilan,
DARI ANJUNG AL-ATRAK
Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Masjid al-Azhar al-Syarif & Masjid al-Asyraff,
Kaherah Mesir

No comments: